Sunday 2 January 2011

Buku Harian Rasmi Majlis Guru Cemerlang Malaysia dan Buku Strategi Pengajaran Guru Cemerlang

Selamat Tahun baru kepada semua Guru Cemerlang Malaysia terutama Guru-guru Cemerlang Negeri Terengganu. Semua Guru Cemerlang dikehendaki mendapatkan Buku Harian Rasmi Guru Cemerlang yang diterbitkan oleh MGCM dengan segera daripada Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Daerah masing-masing, atau berhubung terus dengan Yang Dipertua MGC Terengganu, Tuan Haji Jaafar bin Bajuri, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Harga buku harian ialah RM18.00 dan harga buku Strategi Pengajaran Guru Cemerlang RM32.00. Sama-samalah kita menyokong aktiviti Majlis Guru Cemerlang Malaysia dengan membeli buku-buku terbitan MGCM. Terima kasih.

Saturday 1 January 2011

Selamat datang ke Blog Majlis Guru Cemerlang Terengganu

Dalam usaha memartabatkan profesion keguruan, gagasan Guru Cemerlang (GC) telah diperkenalkan pada tahun 1993. Jawatan GC merupakan suatu bentuk insentif kepada guru yang telah berkhidmat dengan cemerlang dalam bidang mata pelajaran masing-masing. Guru Cemerlang telah mula diperkenalkan pada tahun 1994 berasaskan memorandum Kementerian Pendidikan Malaysia kepada Kabinet bertajuk “Sistem Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pendidikan – Cadangan Ke Arah Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan Dan Menghasilkan Guru Yang Cemerlang” (April 1993). Pada tahun 1994, sistem kenaikan pangkat dalam Perkhidmatan Pendidikan hanya berasaskan satu model sahaja. Seseorang yang dinaikkan pangkat dari DG41 (guru siswazah) ke DG48 misalnya, akan menjawat jawatan baru seperti Pengetua atau Pegawai Pendidikan Daerah. Ia akan menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan meninggalkan tugas-tugas lama sebagai guru dan pendidik. Dengan kata lain apabila seseorang guru itu dinaikkan pangkat, ia akan keluar dari tugas perguruan ataupun “moving up is moving out”. Kenaikan pangkat dalam Perkhidmatan Pendidikan sebagai satu perkhidmatan profesional tidak semestinya berlandaskan satu model sahaja. Dalam perkhidmatan profesional kenaikan pangkat harus juga memberi pertimbangan kepada perkembangan profesion itu sendiri. Pegawai harus diberi laluan untuk boleh meningkatkan kerjaya dalam profesion berkenaan tanpa meninggalkannya – “moving up need not necessarily be moving out”. Peluang untuk naik pangkat dalam jawatan yang sama akan dapat mempertingkatkan kualiti profession. Apabila guru-guru dinaikkan pangkat dalam jawatan yang sama dan terus mengajar, kebolehan dan kepakarannya dalam bidang pendidikan akan terus dapat dimanfaatkan. Sebaliknya apabila guru-guru yang baik dan cermerlang dari aspek di kelas dinaikkan pangkat ke jawatan “pentadbir” dan tidak lagi mengajar, kualiti pendidikan akan terjejas. Dengan kata lain “Education loses when promotion begins".